Selasa, 10 September 2019

Tadabbur Kalamullah

11 Muharram 1441H

بَلۡ نَقۡذِفُ بِٱلۡحَقِّ عَلَى ٱلۡبَـٰطِلِ فَیَدۡمَغُهُۥ فَإِذَا هُوَ زَاهِقࣱۚ وَلَكُمُ ٱلۡوَیۡلُ مِمَّا تَصِفُونَ

"Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami)" [Surah al-Anbiya' 18]

#Dalam ayat نَقۡذِفُ بِٱلۡحَقِّ عَلَى ٱلۡبَـٰطِلِ, kebenaran diumpamakan seperti benda keras atau kuat, manakala kebatilan pula digambarkan dengan sifat lemah dan lembik. Allah menggunakan perkataan  نَقۡذِفُ yang pada asalnya bermaksud melontar atau melempar jauh.

#Ini menggambarkan apabila berlaku pertembungan antara perkara yang hak dan batil, maka Allah umpamakan seolah-olah DIA lemparkan kebenaran ke atas perkara yang batil sehinggakan kebenaran menghempap musnah kebatilan. Kesannya, hilang dan lenyaplah kebatilan dan kebenaran sentiasa menang.

وَقُلۡ جَاۤءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَـٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقࣰا

Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap" [Surah al-Isra' 81]

#Ayat di atas (Surah al-Anbiya' 18) menunjukkan bahawa Allah swt sangat tegas dan serius dalam setiap urusan yang melibatkan kebenaran dan kebatilan. Kita juga sepatutnya tegas dan serius dalam menegak dan mempertahankan kebenaran serta menghapuskan kebatilan. Yakinilah janji Allah bahawa kebenaran pasti dan sentiasa akan menang. Firman Allah swt:

وَلَقَدۡ سَبَقَتۡ كَلِمَتُنَا لِعِبَادِنَا ٱلۡمُرۡسَلِینَ * إِنَّهُمۡ لَهُمُ ٱلۡمَنصُورُونَ * وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ ٱلۡغَـٰلِبُونَ

"Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul, bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)" [Surah as-Saaffat 171-173]

#Firman Allah swt lagi:

كَتَبَ ٱللَّهُ لَأَغۡلِبَنَّ أَنَا۠ وَرُسُلِیۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِیٌّ عَزِیزࣱ

Allah telah menetapkan: "Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan (golongan yang menentang) ". Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa" [Surah al-Mujadilah 21]

♡Kebenaran itu jalannya sangat panjang dan sukar, namun bersabarlah kerana kebenaran pasti menang dan kebatilan pasti lenyap. Sesiapa yang bersabar dan istiqamah diatas jalan kebenaran pasti akan menikmati kemenangan sebagaimana yang dijanjikan Allah swt. Yakinilah!!♡

Tiada ulasan:

Catat Ulasan