Khamis, 12 September 2019

☆Tadabbur Kalamullah 12 Muharram 1441H☆



وَكَانَ فَضْلُ اللَّـهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا

"...Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepadamu amatlah besar" [Surah al-Nisa’ 113]

#Terdapat pelbagai kurniaan Allah kepada kita hambaNya yang terlalu besar dan istimewa. Antara kurniaan terbesar tatkala iman kita dipelihara oleh Allah daripada disesatkan oleh musuh-musuh Allah dan kita kekal di atas jalan Islam dan taqwa selama-lamanya. Kemudian dikurniakan syurga di akhirat kelak sebagai ganjaran keimanan dan amal soleh yang kita usahakan.

مَن عَمِلَ صَـٰلِحࣰا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَلَنُحۡیِیَنَّهُۥ حَیَوٰةࣰ طَیِّبَةࣰۖ وَلَنَجۡزِیَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ

"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan" [Surah an-Nahl 97]

#Iman dan taqwa adalah kurniaan agung yang perlu dipelihara sebaiknya demi menjana kebahagiaan dan kejayaan hakiki di alam barzakh serta di akhirat kelak.

#Imam Ibnu Jauzi telah menyebut dalam kitab Bustan al-Wa’izin bahawa roh orang yang beriman itu saling bertemu dan berinteraksi dengan penuh kedamaian dan ketenangan ketika mana berada di alam barzakh. Ini berdasarkan sabda Nabi saw:

إِذا عرج بِروح الْمُؤمن تَلَقَّتْهُ أَرْوَاح الْمُؤمنِينَ بِالرَّحْمَةِ والبشرى كَمَا يتلَقَّى الْغَائِب فِي الدُّنْيَا ثمَّ يقبلُونَ عَلَيْهِ فيسألونه فَيَقُولُونَ مَا فعل فلَان وَمَا حَاله

"Apabila diangkat ruh orang yang beriman, nescaya ia bertemu dengan ruh-ruh orang beriman dengan rahmat dan berita gembira sebagaimana bertemu orang yang asing dengan keluarganya di dunia. Kemudian, mereka menyambutnya dan bertanya kepadanya, dengan berkata: "Apa yang dilakukan oleh si fulan dan apa yang berlaku kepadanya" (HR an-Nasaie)

#Hadis ini menyebut tentang salah satu kurniaan Allah kepada orang yang mati dalam keadaan benar-benar beriman dan bertaqwa.

#Kurniaan teristimewa ini juga akan dinikmati di hari akhirat kelak oleh orang yang beriman dan bertaqwa. Daripada  Sayidina Ka’ab bin Malik r.a bahawa Nabi saw bersabda:

إِنَّمَا نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Sesungguhnya roh orang mukmin berterbangan di pohon Syurga sehingga Allah membangkitkannya ke dalam jasadnya pada hari Kiamat”. [HR an-Nasa’ie)

♡Nikmat Iman dan Islam di antara nikmat kurniaan Allah yang paling bernilai tinggi dan paling teristimewa. Oleh itu, peliharalah sebaik mungkin agar kekal suci daripada kotoran dosa dan kesyirikan. Semoga Allah memelihara kita daripada kesesatan. Aamiiin♡

Tiada ulasan:

Catat Ulasan