Rabu, 11 September 2019

AL-'ALIM: (ALLAH MAHA MENGETAHUI)


MAKSUD ALLAH BERSIFAT AL-'ALIM

Al-'alim bermaksud Allah Maha Mengetahui.

Allah mengetahui segala-galanya tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada ilmu Allah. Allah mengetahui secara terperinci setiap ciptaanNya seperti Allah mengetahui ikan ikan yang berenang di dasar lautan  luas, binatang di hutan tebal dan logam yang tertanam di perut bumi.
Allah juga mengetahui semua aktiviti manusia. Setiap tutur kata dan perkara yang terlintas di hati diketahui oleh Allah.

PERBEZAAN ILMU ALLAH DAN ILMU MANUSIA

Ilmu Allah

Ilmu Allah meliputi semua perkara, tidak ada sesuatu perkara yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah.
Ilmu Allah mutlak dan tidak bergantung kepada masa. Allah mengetahui sejarah perkembangan kehidupan manusia di alam ini sama ada yang sedang berlaku atau akan berlaku.

Ilmu Allah tidak memerlukan kajian kerana

Allah mencipta segala-galanya.

Allah mengetahui perkara ghaib, malah tidak ada sesuatu yang ghaib bagi Allah

Ilmu Manusia

Ilmu manusia amat terbatas. Seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang tidak pakar dalam bidang yang lain. Contohnya seseorang yang pakar dalam bidang kejuruteraan tetapi dia tidak pakar dalam bidang perubatan.

Kepakaran manusia bermula dengan kejahilan. Setelah belajar dan membuat kajian bertahun-tahun barulah dia mendapat sedikit kepakaran dalam sesuatu yang dikajinya.

Pengetahuan manusia bergantung kepada sejauh mana kebolehannya mendapat maklumat. Manusia boleh mengkaji bulan dengan teleskop, menyelam ke dasar lautan untuk menggali petroleum dan mengesan virus yang membiak menggunakan mikroskop.

Ilmu manusia tidak dapat menjangkau ke alam ghaib seperti alam barzakh dan akhirat.

KESAN BERIMAN DENGAN AL-ALIM

Seseorang itu akan menjadi jujur dan sentiasa berasa diperhatikan oleh Allah.

Takut untuk melakukan dosa.

Sentiasa melakuka kebaikan walaupun kebaikan itu kecil.

Orang yang berilmu akan sentiasa merendah diri.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 137:

وهو السميع العليم
Maksudnya: Dialah Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

AMALAN YANG BERTENTANGAN DENGAN SIFAT AL-ALIM

Belajar secara sambil lewa.
Bersikap takbur dan sombong apabila memiliki ilmu.
Tidak jujur dalam melakukan kebaikan.
Memandang ringan terhdap dosa dan kemungkaran.
Tidak suka memberi sumbangan ilmu dan kemahiran untuk orang lain.

*PAHALA SEDEKAH SETIAP HARI*

ُالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحمَٰنِ الرَّحِِيم

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ
وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّد


عَنْ بُرَيْدَةَ الْأَسْلَمِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا كَانَ لَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ صَدَقَةٌ وَمَنْ أَنْظَرَهُ بَعْدَ حِلِّهِ كَانَ لَهُ مِثْلُهُ فِي كُلِّ يَوْمٍ صَدَقَةٌ

Dari Buraidah Al Aslami dari Nabi ﷺ, baginda bersabda:

"Barangsiapa memberi kemudahan (dengan menangguhkan pembayarannya) kepada orang yang kesusahan, maka pada setiap harinya ia akan mendapatkan pahala sedekah. Dan barangsiapa memberikan kemudahan setelah sampai tempoh (untuk membayar), ia juga akan mendapatkan pahala sedekah pada setiap harinya."

HR : Ibnu Majah No: 2409

PENGAJARAN :

1. Muslim ialah mereka yang sentiasa memberikan keutamaan dan keselesaan kepada orang lain.

2. Orang yang memberi hutang, sewajarnya memberikan kelonggaran penangguhan pembayaran hutang kepada peminjam yang kesempitan.

3. Orang yang memberi kemudahan penangguhan bayaran hutang akan sentiasa mendapat pahala sedekah setiap hari sehingga orang yang berhutang membayarnya.

4. Orang yang berhutang sewajarnya berusaha menunaikan janji pembayaran mengikut masa yang ditetapkan.

وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين،
وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين

والله أعلم بالصواب

*سموگ الله ممعافكن سموا دوسا كيت والاوڤون باپق،*
*سموگ الله منريما عمالن كيت والاوڤون سديكيت...*